Cleaning my mailbox, came across this forwarded mail. I thought it is worth sharing. Saja nak bersedihan pagi-pagi ni. Tapi sesungguhnya hati memang tersentuh bila membaca, inilah realiti kehidupan. Mudah-mudahan kita dilindungi Allah swt dari dosa dan kelalaian seumpama ini. Hargailah ibu bapa sementara mereka masih ada.....
MANA MAK???
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan
pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah
agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur
tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah
mana?”
Mak jawab, “Angah mandi,
baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok
tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah
balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya
dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita
pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh
yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian.
Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak
setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju
ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek
baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv.
Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan
dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi,
"Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah
tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang
hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik
dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat
jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana
Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak
tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang
tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu
bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar
kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah.
Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di
depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." apabila dapat nombor 1 atau kaki
melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak
Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap
waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya
'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin
hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah
resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah
risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah
uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum
berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan
bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak
Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap
bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala
Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum
tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap
kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak
takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling
gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya.
Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak
Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam.
Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah
pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus
kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak
Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun
raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat
berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh
koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak
sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka
berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan
beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah
di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak
anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada
Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat
gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih
mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap
begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap
malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah
Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung
masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak
jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata
semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan
balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan
di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.
Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya.
Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat
kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat
saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah
sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki
kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang
merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham
buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah
mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana
mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak
waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa
kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak
boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu
memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa
anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh
di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar
handphone berbunyi semasa ayah telefon untuk beritahu mak sakit
tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan
untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak
pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu
ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana
Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana
Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan
jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan
jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu
dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak
ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari
ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik
dan Adik , "Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah,
Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak
untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak
malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita
jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah
pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun
Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar
dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa
perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila
tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih
utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri,
pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat
sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita
membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
No comments:
Post a Comment