Showing posts with label Islamic articles. Show all posts
Showing posts with label Islamic articles. Show all posts

Saturday, July 7, 2012

Ciri-ciri suami terbaik...kata Ustaz Azhar Idrus

1. Solat fardhu cukup 5 waktu.
2. Ada kerja gaji RM800-1500 ke atas, boleh bayar rumah sewa, boleh beli beras, boleh isi minyak, boleh hantar ke tempat keje. Nafkah zahir boleh bagi, bukan nafkah batin je tau.
3. Ada kenderaan: moto kapcai dah cantek. Honda EX5 orait sangat la tu dengan 2 helmet. Basikal pun boleh, tapi penat kayuh kalau dari Bangsar ke KLIA. Sebaik-baiknya kereta, sebab nanti nak bawa isteri yang mengandung ke klinik setiap bulan.
4. Lulus ujian fardhu ‘ain sekolah rendah. Maknanya boleh mandi wajib dengan baik dan boleh ajar isteri mandi wajib dengan betul, apatah lagi mandi-mandi yang lain.
5. Boleh baca al-Quran dan boleh mengajar al-Quran walaupun setakat “Alif Ba’ Ta’” sampai Surah “Iqra’ Bismirabbikallazi Khalaq.”
6. Jenis lurus, baik, hati baik, tak menipu.  Tak delah sampai menipu kata nak pergi Mydin tapi pergi mengorat jiran taman sebelah.
7. Dia paham kamu, kamu paham dia.  Paham jiwo gitu. Serasi bersama. Berbeza tapi boleh masuk.
8. Gedik joget-joget pun depan bini dan anak-anak je. Depan orang lain sopan santun gitu.
9. Jenis tak cemburu buta sangat. Cemburu macam ni ok, “Ehemm..ramainya kawan laki kat opis.. Jangan sampai lupa abang tau..”
10. Belajar takat PMR je pun takpe, janji cara dia fikir tu matang dari yang belajar PhD.
11. Kalau dia jenis diam tak delah sampai orang kata tak bergaul dengan manusia lain. Kalau dia banyak bercakap pun tak delah sampai dia mengata-ngata orang lain.
12. Malas juga ke masjid, tapi dia pergi gak dalam sehari tu 2 kali sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak.
13. Walaupun tak kerap ke kuliah agama, tapi bila tengok Youtube Ustaz Azhar Idrus ngajar tu sampai terlupa nak tengok bola. Jika ada kuliah di masjid muka dialah ada di antara orang-orang kampung.
14. Boleh susah senang bersama. Kalau isteri nangis, dia tolong riba isteri dan tenangkan. Kalau isteri sakit, dia tolong jaga dari malam sampai pagi.
15. Jenis senyum sokmo.
16. Tak tengok sangat awek cun, duk tengok bini dia je walaupun bini dia tak cun.  (Tak cun tak pe, boleh tutup lampu)
#UstazAzharIdrus

Friday, July 6, 2012

Cinta Allah...cinta Utama



Cinta bukan
melemahkan hati,
bukan membawa putus asa,
bukan menimbulkan tangis sedu sedan.
Tetapi cinta menghidupkan penghargaan,
menguatkan hati dalam perjuangan,
menempuh onak dan duri penghidupan.
~Hamka~

Friday, June 15, 2012


Assalamualaikum wbt, kita tazkirah sikit di pagi Jumaat ni.  Lama dah dok mengarut ....

................................................
Bersyukur

Sudahkah kita bersyukur? 
Bagaimanakah syukur kita?
Pada siapa?
Untuk siapa??

Syukur itu bukan sekadar ucapan tetapi perbuatan dan amalan kita.  Ketika mendapat rezeki, ucapan Alhamdulillah itu adalah memuji Allah swt.  Syukur nya adalah ketika kita membuat sesuatu kebaikan dengan rezeki itu (nafkah anak-anak, membeli keperluan keluarga, sedekah serta kebaikan).  Ketika kita ucap Alhamdulillah tetapi rezeki dijalankan ke arah yang salah, kedekut, simpan untuk diri sendiri semata-mata serta menggunakan rezeki ke arah berbuat maksiat dan keburukan, maka ia bukan syukur kita kepada Allah.

Ketika kita bersyukur dihidupkan kembali hari ini oleh Allah setelah mematikan kita setiap hari yakni ketika kita tidur, ia bukan sekadar ucapan.  Tetapi amalan kita hari ini  setelah dihidupkan kembali seharusnya amalan yang dilakukan dengan penuh kebaikan  dan keikhlasan yang membuktikan kita ini hamba yang bersyukur.  

Ketika bersyukur kerana kita masih diberi kasih sayang oleh Allah, ia bukan sekadar ucapan.  Seharusnya sebenar-benar  dan seikhlas-ikhlasnya kita saling memberikan kasih sayang antara kita mengikut hubungan siapa kita.  Antara sahabat,  ibu, ayah, anak serta antara keluarga seluruhnya.

Ketika kita bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik, seharusnya jasad ini digunakan ke arah kebaikan.  Bukan sekadar kata-kata “syukur aku sihat”.

Inilah syukur yang sebenarnya. Ia bukan sekadar kata-kata pujian tetapi ia adalah seluruhnya… syukur di jiwa, di bibir dan di perbuatan.  Semoga setiap hari kita sama-sama menjadi hamba Allah yang sentiasa dipercayaiNya.

“Ya Allah, hambaMu mohon ya Allah agar diberikan petunjuk dan kekuatan untuk menjadi hambaMu yang dipercayaiMu ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih”.

Sekadar berkongsi ilmu…….yang diberi ALLAH…..tanda syukur ku padaNya ...

"And with Him are the keys of the unseen treasures - none knows them but He; and He knows what is in the land and the sea, and there falls not a leaf but He know it, nor a grain in the darkness of the earth, nor anything green nor dry but (it is all) in a clear book"
  {Quran 6:59}

Wednesday, November 23, 2011

Tazkirah: ....mengatasi hati yang masih belum tenang ......


The article below was forwarded to me thru' email a few days back.  Not mentioned  the origin but I thought this is worth sharing.  To the original writer of this 'tazkirah' - semoga Allah swt sentiasa memberkati kehidupan anda.  Read on dan semoga kita semua mendapat sedikit sebanyak ketenangan yang diimpikan...


***************^^^^^^*****************

Mengapa hati masih belum tenang, walaupun setelah berzikir, solat atau berdoa?  Sedangkan Allah telah  menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah,  hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian, krisis dan kesusahan,  mengapa hati  kita  masih  resah,  kacau  dan  galau  walaupun  sudah berbuih mulut meluahkan  kalimah-kalimah zikir? 

Mengapa  kita  belum  mendapat  ketenangan  sepertimana  yang dimiliki oleh pasangan  Saydina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah Subhanallah,  Alhamdulillah  dan Allahu-Akbar, sama seperti yang pernah  diamalkan  oleh  mereka?  Apa  yang  tidak  kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya juga sama?

Tidak  syak  lagi  kita  tidak  dapat  menghayati  maksud tersirat daripada kalimah-kalimah  zikir  itu.  Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat  di  sebaliknya,  umpama  burung kakak tua yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati, kita perlukan ilmu, amalan dan latihan. 

Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang  perlu  dirasai  oleh  hati  apabila kita mengingati Allah (berzikir).

Antara rasa-rasa itu ialah:

Rasa kehambaan

Rasa  kehambaan  ialah  rasa  miskin,  jahil,  lemah,  bersalah,  hina  dan lain-lain  sifat  kekurangan  seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak  sakit  dan  sebagainya,  seseorang yang memiliki rasa  kehambaan  akan  sedar  bahawa  hakikatnya semua  itu  datang daripada Allah. 

Firman Allah swt:  “Tidak sekali-kali  akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu)  maka  kepada Allah jualah  hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Bila  menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur  dengan  apa  yang  berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini.  “Hatinya  tidak  akan  berkata,  “kenapa aku, bukan orang lain?”

Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang.  Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Lepaskan segala rasa dan pasrahlah kepada Allah.

Apakah  tanda-tanda  kita  memberontak  apabila  diuji?  Kata  Imam Ghazali rahimahullah,  “cukuplah  seseorang  hamba  dikatakan  sudah  ‘memberontak’ kepada  Tuhannya  apabila  dia  menukar  kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila  diuji  Allah  dengan  sesuatu  yang  tidak  disukainya!”  Misalnya, seseorang  itu  tidak  mahu lagi untuk makan dan minum secara  teratur,  tidak  menyisir  rambut,  tidak  berpakaian  kemas, mengabaikan rumahtangga dan membiarkan anak-anak tidak terjaga.

Marilah  sama-sama  kita  ingat,  apabila  ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan  kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” 

Firman Allah swt:  “Iaitu   orang-orang   yang   apabila   ditimpa   musibah,  mereka  berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami  kembali.  (Surah al-Baqarah 2:156).”

Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita  adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti  diuji  kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.  Dengan ini kita  akan  dapat  memadamkan  rasa  marah kepada orang-orang sekeliling, sama ada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!

Rasa bertuhan

Rasa kehambaan yang serba lemah itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat. Apabila kita rasa kurang,  timbul  pengharapan kepada yang Maha Sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat  rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah.  Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri, anak-anak atau orang sekeliling.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah, rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah. Seseorang yang paling kuat menghadapi ujian dalam  hidup  ialah seseorang yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantu. Firman Allah swt: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”

Rasa bertuhan menyebabkan seseorang itu mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam kehidupan. Doa adalah senjata, manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.  Firman Allah swt: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”

Dalam apa jua keadaan  – positif mahupun negatif, hati tetap tenang.  Firman Allah swt:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam  hati  orang  yang  beriman, supaya  keimanan mereka makin bertambah daripada  keimanan yang telah ada.  Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah al-Fath 48:4)”

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui  sabda baginda dari Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah  dan  bersyukur,  dan  sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah  dan  bersabar.  Dan  setiap  mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehinggalah  diberi  pahala  pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”

Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We cannot direct the wind but we can adjust our sail  –  kita  tidak  mampu  mengawal  arah  tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi  dalam  kehidupan  kita  ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya  apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini  sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita  sewaktu  diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah  bermaksud  baik  sekalipun  kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.

Tidak salah untuk  kita  menyelesaikan  masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut  untuk  berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan,  bersangka  baiklah  kepada  Allah,  berdasarkan  firman-Nya: “Boleh  jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi  kamu  suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”  

Bersangka baik dengan Allah adalah cara untuk kita mendapat  pahala  sabar. Begitu juga kalau ditakdirkan kita kesempitan belanja,  maka  berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah  mentakdirkan  begitu.   Ya,  dalam  apa  jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Dengan ini kita tidak akan merungut, stress dan tertekan. Hayatilah kata-kata yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, ingatlah  bahawa  Allah-lah  yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Peliharalah kehidupan  kita dengan sebaik-baiknya.  Jika badai melanda, ingatlah itu sudah termaktub  (tertulis).  Jangan  rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”.  Hayati  sabda  Rasulullah  SAW :  “Oleh  itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh  berusaha  memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta  pertolongan  kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau  berkata: “Kalau aku lakukan sekian-sekian, tentulah akan terjadi sekian-sekian", tetapi  katakanlah:  “Allah  telah  takdirkan dan  apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya, Dia lakukan,’  oleh kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

Mendapat hikmah apabila diuji

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan.  Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian.  Hikmah  hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.  Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Rasulullah  SAW  bersabda:  “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau  demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

Jika  tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur,  reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujianlah seseorang itu dapat meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah.  

Pendek kata, bagi seseorang yang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah  kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam  kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Inilah empat rasa  yang  sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dan kesempitan dalam kehidupan. Bawalah hati kita berehat .......dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat.  Oleh  kerana itulah Rasulullah SAW sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!”

*************^^^^^^^^^^^***************

Mudah-mudahan kita dapat membujuk dan merehatkan hati dan menjadikan diri kita terbaik disisiNya.  InsyaAllah.

Tuesday, August 2, 2011

Tazkirah Ramadhan #2



Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud : "Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat." Dalam hadis lain, Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Hendaklah kami bersahur kerana ia adalah makan yang berkat."

Antara hikmat disunatkan bersahur ialah sebagai alas perut yang disimpan oleh orang yang berpuasa supaya tidak terlalu lapar sepanjang puasa pada siang hari. Ia juga sebagai dorongn supaya orang Islam dapat bangun dengan lebih awal menghidupkan malam Ramadhan dengan zikir, doa dan ibadat lain, sebelum menjamah makanan pada waktu sahur. Pada waktu yang penuh keberkatan inilah pelbagai pahala boleh diperolehi jika seseorang Muslim melaksanakan ibadat yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah swt.

Waktu bersahur adalah luas bermula dari waktu malam hari hingga masuk waktu fajar dan yang lebih afdal ialah ketika waktu subuh hampir masuk. Kebiasaan yang menjadi amalan umat Islam di Malaysia ialah berhenti makan lebih kurang 10 minit sebelum azan subuh yang disebut sebagi Imsak. Kebanyakan daripada kita cukup berhati-hati supaya tidak melangkaui waktu Imsak untuk memastikan tiada sisa makanan dalam mulut.

* Bersahur membezakan puasa orang Islam dengan ahli kitab kerana mereka berpuasa tanpa bersahur.
* Sahur itu adalah waktu yang afdal untuk beribadat menghidupkan malam Ramadhan. Menjadi satu kerugian jika ditinggalkan begitu saja ruang masa bersahur tanpa diisi dengan amal ibadat lain. Luangkanlah masa dengan membaca al-Quran, berzikir dan berdoa supaya memperoleh pahala daripada Allah s.w.t.
* Makanan yang dimakan sewaktu sahur adalah anugerah Allah sebagai kekuatan dan alas perut menahan kelaparan pada siang Ramadhan.

Kesimpulannya, bersahurlah, kerana ia amat digalakkan oleh Allah dan rasulNya. Jangan diabaikan atau menganggpnya sebagai perkara kecil kerana apabila disebut secara berulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya, ini menunjukkan betapa pentingnya amalan bersahur itu.


"Sahur itu berkat, janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas orang yang bersahur"
(Hadis daripada Abu Said).

Monday, August 1, 2011

Tazkirah Ramadhan #1





Just sharing….
(Extract dari Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd [korbanaqiqah@alameenserve.com])

Ustaz KH Jamaluddin Kafie telah membukukan ceramah-ceramah agamanya dalam sebuah buku kecil yang bertajuk ‘Santapan Rohani’. Kandungannya ringkas sekali dan merupakan bahan-bahan pengajian malam Juma’at beliau di desa Prenduan Sumenep, Madura, Indonesia. Mungkin ada manfaatnya kita sama-sama menikmati santapan rohani yang beliau sajikan berkenaan 4 dorongan atau tahapan kita berpuasa:

Kita berpuasa untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. :“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah :183)

Kita berpuasa untuk memelihara kesucian jiwa:“Puasa itu perisai selama ia tidak dirobek oleh dusta atau umpat mengumpat.” (HR At-Thabrani)

Kita berpuasa kerana mengharapkan keridhaan-Nya:
“Dia meninggalkan makanan dan minumannya dan syahwatnya demi Aku. Maka puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang langsung memberi balasannya.” (HR Bukhari)

Kita berpuasa kerana rindu ingin bertemu dengan Allah s.w.t.:“Bagi orang yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Bahagia setelah berbuka dan bahagia setelah ia dapat bertemu dengan Tuhannya pada hari kiamat nanti.” (HR an-Nasa'i)


Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:


"Semua amal anak Adam A.S. dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t.. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekelian"

(Hadis Riwayat Muslim)

Friday, July 29, 2011

Tazkirah menjelang Ramadhan ....


Ramadhan bakal menjelma. Bulan buat kita mensucikan diri, zahir dan batin. Setiap kali menjelang Ramadhan, inilah niat, inilah iktikad kita - memperbaiki diri, memperbaiki dan mempertingkatkan ibadah. Dan mudah-mudahan Ramadhan ini menjadikan kita insan yang lebih baik.

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa membersihkan hati, membersihkan jiwa. Puasa hati ialah dengan mengosongkannya daripada perkara-perkara berbentuk syirik yang merosakkan iman, keyakinan kepada perkara-pakara yang batil, terpengaruh dengan bisikan-bisikan jahat, niat-niat busuk dan fikiran yang keji.

Sesungguhnya dalam hati seseorang mukmin itu terdapat cahaya bersinar yang akan menerangi kegelapan dan sentiasa tunduk kepada perintah-perintah Allah s.w.t. Mendengar ayat-ayat Allah akan membuatkan hati seseorang mukmin tenang dan bertambah keimanannya.

Berpuasa dengan sebenar-benar puasa boleh mengelakkan hati daripada menjadi sombong. Apabila sombong menempati hati, akal seseorang itu akan menjadi bingung dan tidak sempurna. Sombong tidak sekali-kali boleh berada dalam hati seseorang mukmin kerana ianya haram. Berpuasa dengan sebenar-benar puasa juga mengelak rasa dengki dalam hati seseorang. Perasaan dengki menghancurkan semua amal-soleh, memadamkan cahaya kalbu, menyukarkan dan seterusnya menghentikan jalan kita menuju Allah s.w.t.

Sempena bulan suci ini, marilah kita bersama-sama berusaha membersihkan hati daripada segala kekotoran yang boleh merosakkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Justeru sebagai manusia yang sememangnya punyai seribu kelemahan, ini bukanlah sesuatu yang mudah. Namun kita harus menyakini Allah sentiasa memberkati setiap niat baik hambaNya. Jangan sekali-kali dibiarkan hati kita terus berpaling dari jalan Allah s.w.t. Berusahalah menjadi insan yang bertakwa dengan menjaga kesucian hati dan membuang semua perkara buruk.

Awal Ramadhan - pintu rahmat akan terbuka luas. Seseorang mukmin akan mendapat kurniaan ghaib dari Allah s.w.t. Rahmat yang diberikan berlainan dari seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain. Pertengahan Ramadhan - pintu keampunan akan dibuka. Mintalah ampun dari Allah s.w.t dengan setulus-tulusnya. Allah mendengar segala rayuan kita. Akhir Ramadhan - dimerdekakan oleh Allah daripada azab api neraka. Mohonlah perlindungan hanya dariNya. Oleh itu marilah kita sama-sama merebut peluang mencari dan menadah barakah dari Allah s.w.t di bulan yang mulia ini.

Menghampiri Ramadhan, aku dengan rendah hati memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan, baik melalui perbuatan mahupun perkataan. Kiranya ada hati-hati yang terluka, maafkan aku. Aku ingin melalui Ramadhan ini dengan hati yang lapang dan tenang. Mudah-mudahan Allah akan menerima segala amalan kita dan diampunkan segala dosa dan dipermudahkan segala peluang dan punca rezeki kita sepanjang masa. InsyaAllah.

Ahlan wa sahlan marbahan ya Ramadhan.


Wednesday, June 29, 2011

... Israk Mikraj .....



Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

> Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

> Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

> Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

> Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

> Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

> Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

> Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

> Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

> Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

> Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

> Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

> Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

> Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. :
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

Friday, May 6, 2011

Tazkirah Jumaat ....

Wang dan harta bukan segala-galanya ...


Detik Waktu

Tidak mungkin dapat dikembalikan dengan wang. Sehari berlalu tidak akan mungkin berulang. Kelmarin sudah menjadi sejarah. Setiap kesempatan yang ada hari ini jangan dipersiakan. Ingatnya, kita cuma ada hari ini kerana esok belum tentu. Jalankan tanggungjawab sebaik, seikhlas mungkin, tanggungjawab kita dengan Allah, dengan insan-insan yang kita sayangi, agar waktu-waktu yang berlalu tidak kita kesali.

Kebahagian

Wang boleh membuat kita kita berasa senang, tetapi wang tidak menjanjikan walau secupak kebahagianpun dari dalam lubuk hati kita. Renungkan - berapa ramai orang kaya yang tidak boleh tidur lena walau dalam bilik berhawa dingin, katil yang empuk. Wang tidak dapat membeli tidur yang lena.
Kasih-sayang dan cinta

Wang tidak boleh membeli cinta. Wang sememangnya boleh membuat orang terpesona, tertarik tetapi cinta sejati berasal dari lubuk hati untuk bersama-sama berkongsi rasa, berkongsi pengalaman, serta saling menghargai. Cintakan wang hanya boleh menjadi cinta yang pura-pura - cinta yang tidak kekal.

Kesihatan

Wang tidak boleh menggantikan kesihatan yang hilang. Kesihatan boleh dijaga tanpa memerlukan modal seperti bersenam dan berjoging. Kesihatan minda boleh diraih dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jangan lalai solat lima waktu.

Persahabatan

Teman dan sahabat boleh dicari tetapi tidak boleh dibeli. Persahabatan yang berlandaskan wang ringgit akan terlerai di saat kita tidak ada wang.
Bagaimanapun, wang dan harta cukup penting kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya mencari kekayaan. Tetapi ia hanyalah sebuah keperluan, bukannya sebuah tujuan. Jangan keliru antara keperluan dan tujuan. Jangan tersalah tafsir hingga keperluan dianggap tujuan, dan yang sepatutnya tujuan itu dijadikan keperluan. Wang, harta dan kemewahan bukanlah segala-galanya. Ia tidak akan dibawa bersama ke liang lahad.

("Petikan dari artikel dalam Majalah Milenia, April 2011 - tulisan Hajideen")

Alhamdulillah, dah sampai Jumaat. I so look forward to the weekend. Needed a relaxing and restful weekend.

Wish all readers a good weekend, a good rest.

Thursday, April 7, 2011

Seteguk Air .....



Hidup ini adalah sementara
dan kita persis
seorang pengembara
yang sesekali
singgah berteduh di bawah pohon
untuk melepaskan dahaga
setelah letih daripada
sebuah perjalanan jauh.

Seteguk air
yang kita minum di dunia
adalah sekadar pelepas dahaga
tetapi di akhirat kelak
kita akan berhadapan
dengan kedahagaan lebih dahsyat
ketika mentari
berada sejengkal di atas kepala.


Sedarilah
dunia hanya sementara
dan akhirat kekal selama-lamanya.


Zahari Hasib,
Teluk Intan, Perak (sajak dipetik dari Majalah Milenia - September 2009)


Sabda Rasullah SAW yang bermaksud :

"Syaitan itu berjalan pada manusia melalui jalannya darah, maka sempitkanlah tempat perjalanannya dengan lapar dan zikrullah". {Hadis riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud}

Monday, December 6, 2010


Rasulullah saw bersabda :
"Barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan RasulNya maka hijrahnya untuk Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang berhijrah untuk dunia (untuk memperolehi keuntungan duniawi) dan untuk menikahi wanita maka hijrah itu untuk apa yang diniatkannya." (HR Bukhari).

Kata kunci dari hijrah adalah "Perubahan" iaitu perubahan menuju kepada yang lebih baik dalam segala perkara.

Perubahan itu dilakukan semata-mata :

1. Kerana kebaikan.
2. Kerana manfaat.
3. Kerana mencari ridha Allah swt.

Mari kita hayati semangat Hijrah ini insyaAllah

Wassalam.

Friday, May 14, 2010

Susahnya menjaga hati ............




An article that was sent to my mail box today. Sent by my SIL, Shina. The original source of this article is unknown. I thought it is worth sharing ....

Susahnya menjaga hati. Sedangkan ia adalah tempat pandangan Allah swt. Ia merupakan wadah rebutan di antara malaikat dan syaitan. Masing-masing ingin mengisi. Malaikat dengan hidayah, syaitan dengan kekufuran. Bila tiada hidayah, ada ilmu pun tidak menjamin dapat selamat, sekalipun ilmu diperlukan. Susahnya menjaga hati. Bila dipuji, ia berbunga. Terasa luar biasa. Bila dicaci, aduh, sakitnya. Pencaci dibenci. Bahkan berdendam sampai mati. Bila berilmu atau kaya, sombong mengisi dada. Jika miskin atau kurang ilmu, rendah diri pula dengan manusia. Adakalanya kecewa. Kemuncaknya putus asa. Pada takdir yang menimpa, kita susah untuk redha. Ujian yang datang, sabar tiada. Jiwa menderita. Melihat kelebihan orang lain, hati tersiksa. Kesusahan orang lain, hati menghina. Bahkan terhibur pula. Suka menegur orang, tapi bila ditegur hati luka. Aduh, susahnya menjaga hati. Patutlah ia dikatakan raja diri. Bukankah sifat sombong pakaian Raja?! Bukan mudah menahan marah apabila orang marah kepada kita atau orang membuat kesalahan kepada kita. Bukan mudah tidak membalas terhadap orang yang menganiaya dan memfitnah kita. Sedangkan mereka menyusahkan kita, dan kita pun menderita dibuatnya. Tidak mudah menahan perasaan hati agar tidak berbunga ketika ada orang memuji kita. Apakah kita boleh menolak pujian itu dengan rasa hati bahawa kita tidak layak menerimanya? Tidak mudah, biasanya hati sedap dan berbunga rasanya. Apabila kita berhadapan dengan orang serba istimewa, ada yang kaya, berjawatan tinggi, tinggi ilmunya sedangkan kita orang biasa saja, biasanya kita inferiority complex dibuatnya, malu pun timbul. Dapatkah kita merasa biasa saja, tidak terasa apa-apa? Tidak mungkin, bukan? Hati tetap akan terasa. Apakah mudah hati kita menahan derita bila mendapat bala bencana? Tidak mudah, biasanya hati kita derita dibuatnya. Kita rasa kecewa, kita rasa kitalah orang yang malang hidup di dunia. Kita tidak dapat hubungkaitkan bala bencana dengan hikmah dan didikan Tuhan kepada kita. Bahkan biasanya selalu saja jahat sangka dengan Tuhan yang melakukannya. Hati kita rasa bahawa tidak semestinya Tuhan menyusahkan kita. Begitu jugalah kalau kita orang istimewa, berilmu, berjawatan tinggi, kaya! Biasanya rasa megah datang tiba-tiba, sombong pun berbunga, mulailah kita menghina. Hidup kita pun mulailah berubah, sebelumnya beragama, boleh lupa agama. Kalau dahulu dapat bergaul dengan orang biasa, sekarang kawan kita golongan atasan sahaja . Hendak bergaul dengan orang biasa seperti dahulu rasanya jatuh wibawa. Begitulah hati manusia sentiasa berubah-ubah apabila berubah keadaan. Susahnya menjaga hati. Namun itu cuma soal hati, mainan hati, mainan perasaan. Yang penting kita dengan Tuhan ada hubungan senantiasa, takut dan cinta. Bila hati terasa bahagia dengan Tuhan, rasa senang dengan-Nya, yang lain-lain tidak ada arti apa-apa.Karena itulah kita disuruh berdoa: “Ya Allah tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu, dan mentaati-Mu.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ "Allah tidak menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri."
{Surah Ali Imran : 117}