Friday, July 29, 2011

Tazkirah menjelang Ramadhan ....


Ramadhan bakal menjelma. Bulan buat kita mensucikan diri, zahir dan batin. Setiap kali menjelang Ramadhan, inilah niat, inilah iktikad kita - memperbaiki diri, memperbaiki dan mempertingkatkan ibadah. Dan mudah-mudahan Ramadhan ini menjadikan kita insan yang lebih baik.

Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa membersihkan hati, membersihkan jiwa. Puasa hati ialah dengan mengosongkannya daripada perkara-perkara berbentuk syirik yang merosakkan iman, keyakinan kepada perkara-pakara yang batil, terpengaruh dengan bisikan-bisikan jahat, niat-niat busuk dan fikiran yang keji.

Sesungguhnya dalam hati seseorang mukmin itu terdapat cahaya bersinar yang akan menerangi kegelapan dan sentiasa tunduk kepada perintah-perintah Allah s.w.t. Mendengar ayat-ayat Allah akan membuatkan hati seseorang mukmin tenang dan bertambah keimanannya.

Berpuasa dengan sebenar-benar puasa boleh mengelakkan hati daripada menjadi sombong. Apabila sombong menempati hati, akal seseorang itu akan menjadi bingung dan tidak sempurna. Sombong tidak sekali-kali boleh berada dalam hati seseorang mukmin kerana ianya haram. Berpuasa dengan sebenar-benar puasa juga mengelak rasa dengki dalam hati seseorang. Perasaan dengki menghancurkan semua amal-soleh, memadamkan cahaya kalbu, menyukarkan dan seterusnya menghentikan jalan kita menuju Allah s.w.t.

Sempena bulan suci ini, marilah kita bersama-sama berusaha membersihkan hati daripada segala kekotoran yang boleh merosakkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Justeru sebagai manusia yang sememangnya punyai seribu kelemahan, ini bukanlah sesuatu yang mudah. Namun kita harus menyakini Allah sentiasa memberkati setiap niat baik hambaNya. Jangan sekali-kali dibiarkan hati kita terus berpaling dari jalan Allah s.w.t. Berusahalah menjadi insan yang bertakwa dengan menjaga kesucian hati dan membuang semua perkara buruk.

Awal Ramadhan - pintu rahmat akan terbuka luas. Seseorang mukmin akan mendapat kurniaan ghaib dari Allah s.w.t. Rahmat yang diberikan berlainan dari seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain. Pertengahan Ramadhan - pintu keampunan akan dibuka. Mintalah ampun dari Allah s.w.t dengan setulus-tulusnya. Allah mendengar segala rayuan kita. Akhir Ramadhan - dimerdekakan oleh Allah daripada azab api neraka. Mohonlah perlindungan hanya dariNya. Oleh itu marilah kita sama-sama merebut peluang mencari dan menadah barakah dari Allah s.w.t di bulan yang mulia ini.

Menghampiri Ramadhan, aku dengan rendah hati memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan, baik melalui perbuatan mahupun perkataan. Kiranya ada hati-hati yang terluka, maafkan aku. Aku ingin melalui Ramadhan ini dengan hati yang lapang dan tenang. Mudah-mudahan Allah akan menerima segala amalan kita dan diampunkan segala dosa dan dipermudahkan segala peluang dan punca rezeki kita sepanjang masa. InsyaAllah.

Ahlan wa sahlan marbahan ya Ramadhan.


No comments:

Post a Comment