The article below was forwarded to me thru' email a few days back. Not mentioned the origin but I thought this is worth sharing. To the original writer of this 'tazkirah' - semoga Allah swt sentiasa memberkati kehidupan anda. Read on dan semoga kita semua mendapat sedikit sebanyak ketenangan yang diimpikan...
***************^^^^^^*****************
Mengapa hati masih belum tenang, walaupun setelah berzikir, solat atau
berdoa? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan
mengingati Allah, hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian, krisis dan kesusahan, mengapa hati kita masih
resah, kacau dan
galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah
zikir?
Mengapa kita belum
mendapat ketenangan sepertimana
yang dimiliki oleh pasangan Saydina
Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu-Akbar, sama seperti yang pernah
diamalkan oleh mereka?
Apa yang tidak
kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau
bilangannya juga sama?
Tidak syak lagi
kita tidak dapat
menghayati maksud tersirat
daripada kalimah-kalimah
zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya,
umpama burung kakak tua yang pandai
bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati, kita perlukan ilmu, amalan dan latihan.
Marilah kita sama-sama kita fahami apakah
kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai
oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).
Antara rasa-rasa itu ialah:
Rasa
kehambaan
Rasa
kehambaan ialah rasa
miskin, jahil, lemah,
bersalah, hina dan lain-lain
sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan,
kekurangan harta, anak-anak
sakit dan sebagainya,
seseorang yang memiliki rasa
kehambaan akan sedar
bahawa hakikatnya semua itu datang daripada Allah.
Firman Allah swt: “Tidak sekali-kali akan menimpa Kami
sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah
bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”
Bila menyedari
hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji.
Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa
yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “Hatinya
tidak akan berkata,
“kenapa aku, bukan orang lain?”
Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati
menjadi tenang. Sebaliknya
jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Lepaskan segala rasa dan pasrahlah kepada Allah.
Apakah
tanda-tanda kita memberontak
apabila diuji? Kata
Imam Ghazali rahimahullah,
“cukuplah seseorang hamba
dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada
Tuhannya apabila dia
menukar kebiasaan-kebiasaan dalam
hidupnya apabila diuji Allah
dengan sesuatu yang
tidak disukainya!” Misalnya, seseorang
itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara
teratur, tidak menyisir
rambut, tidak berpakaian
kemas, mengabaikan rumahtangga dan membiarkan anak-anak tidak terjaga.
Marilah
sama-sama kita ingat,
apabila ditimpa ujian, kita diajar
untuk mengucapkan
kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.”
Firman Allah swt: “Iaitu
orang-orang yang apabila
ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami
kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”
Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti
kehambaan. Bahawa kita adalah milik
Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti
diuji kerana kita hamba, bukan
tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan
dapat memadamkan rasa
marah kepada orang-orang sekeliling, sama ada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!
Rasa
bertuhan
Rasa kehambaan yang serba lemah itu mesti diimbangi oleh rasa
bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang
Maha Kuat. Apabila kita rasa kurang,
timbul pengharapan kepada yang
Maha Sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu
bergantung kepada suami, isteri, anak-anak atau orang sekeliling.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan
lemah, rasa bertuhan akan
menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah. Seseorang yang paling
kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah seseorang yang merasa lemah di sisi Allah.
Ketika itu ujian walau bagaimana
berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantu. Firman Allah swt: “Janganlah engkau
berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”
Rasa bertuhan menyebabkan seseorang itu mampu menghadapi
ujian yang paling kritikal dalam kehidupan. Doa adalah senjata, manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah swt: “Dan pintalah
pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”
Dalam apa jua keadaan – positif mahupun
negatif, hati tetap tenang. Firman Allah swt: “Dialah Tuhan yang
menurunkan ketenangan ke dalam hati orang
yang beriman, supaya
keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan
yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah al-Fath
48:4)”
Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan
oleh Rasulullah SAW melalui
sabda baginda dari Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan,
maka dia akan memuji Allah dan bersyukur,
dan sekiranya dia mendapat
musibah dia akan memuji Allah dan bersabar.
Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehinggalah
diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke
mulut isterinya.”
Memahami
maksud takdir Allah
Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana
itu adalah takdir Allah. Yang
mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We cannot direct the wind but
we can adjust our sail – kita
tidak mampu mengawal
arah tiupan angin, kita hanya
mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam kehidupan kita
ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya
akan tenang apabila kita meyakini sifat
kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang
ditimpakan-Nya ke atas kita adalah
bermaksud baik sekalipun
kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti
ada.
Tidak salah untuk
kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut
untuk berbuat demikian), namun
jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan,
bersangka baiklah kepada
Allah, berdasarkan firman-Nya: “Boleh jadi kamu
benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak
mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”
Bersangka baik dengan Allah adalah cara untuk kita mendapat
pahala sabar. Begitu juga kalau ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana
itulah maksud Allah
mentakdirkan begitu. Ya,
dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik
takdir itu.
Dengan ini kita tidak akan merungut, stress dan tertekan.
Hayatilah kata-kata yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan
kepedihan bala yang menimpa, ingatlah bahawa
Allah-lah yang menurunkan bala
itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan
memberikan yang terbaik.”
Peliharalah kehidupan kita dengan sebaik-baiknya. Jika badai melanda,
ingatlah itu sudah termaktub
(tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau”
atau “jika”.
Hayati sabda Rasulullah SAW : “Oleh
itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh
berusaha memperoleh apa yang
memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta
pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau
ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata:
“Kalau aku lakukan sekian-sekian, tentulah akan terjadi sekian-sekian", tetapi
katakanlah: “Allah telah
takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya, Dia lakukan,’ oleh kerana perkataan
‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)
Mendapat
hikmah apabila diuji
Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan.
Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan
langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin
Azhar bahawa Rasulullah SAW
bersabda: “Perumpamaan orang yang
beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam
api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujianlah seseorang itu dapat meraih
sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah.
Pendek kata, bagi seseorang yang beriman, ujian bukanlah sesuatu
yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.
Justeru, hayatilah
kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam
kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam
kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain
Allah.”
Inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dan kesempitan dalam kehidupan. Bawalah hati kita
berehat .......dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling
besar adalah solat. Oleh kerana itulah
Rasulullah SAW sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai
Bilal!”
*************^^^^^^^^^^^***************
Mudah-mudahan kita dapat membujuk dan merehatkan hati dan menjadikan diri kita terbaik disisiNya. InsyaAllah.